Ingat lagi kisah berdarah di Netzarim? Kisah Muhammad Al-Durrah dan
ayahnya Jamal Al-Durrah yang ditembak semasa pertempuran? Tak Ingat?
Sudah lupa?
Muhammad Al-Durrah masih berumur 12 tahun ketika
syahid ditembak Rejim Israel enam tahun yang lalu. Peristiwa 30
September 2000 itu telah menggemparkan dan rakaman fotonya tersebar ke
seluruh dunia.
Pagi itu Muhammad al-Durrah mengikut ayahnya
keluar ke bandar. Malangnya tiba di satu persimpangan jalan di Netzarim,
mereka terperangkap dalam pertempuran antara pihak berkuasa Palestin
dan Israel yang sedang berbalas tembakan. Jamal cuba melindungi anaknya
lalu berlindung dibalik tembok bangunan. Selama 45 minit jeritannya
meminta pertolongan tidak dihiraukan. Muhammad terkena tembakan di kaki.
Akhirnya Muhammad Al-Durrah terkorban di riba ayahnya setelah terkena
empat tembakan peluru. Jamal juga cedera parah walaupun berjaya
diselamatkan selepas menjalani rawatan kecemasan di Jordan.
Kejadian ini berjaya dirakam oleh jurufoto France 2 yang berjaya merakam
27 minit dari kejadian tersebut. Imej ini akhirnya tersebar ke seluruh
dunia dan menjadi bukti kekejaman Zionis Israel.
Rejim Israel
seperti biasa dengan berbeli-belit, mahu berlepas tangan. Berbagai
tuduhan dilemparkan. Sehingga direka cerita bahawa tragedi itu hanyalah
sebuah lakonan untuk menarik simpati. Yang peliknya ada juga yang
percaya. Betapa besarnya pengaruh rejim Israel. Semua media memainkan
propaganda jahat Zionis.
Sehingga kehari ini, peristiwa itu terus
menjadi igauan ngeri buat keluarga Al-Durrah. Zionis mungkin lupa.
Dunia akan lupa. Namun meraka akan sentiasa ingat. Mereka tidak akan
lupa. Jamal Al-Durrah berkata, kematian anaknya tidak sia-sia. Muhammad
al-Durrah syahid demi Al-Aqsa. Amal, ibunya menambah, perginya Muhammad
adalah satu pengorbanan mereka untuk tanahair tercinta, Palestin.
Kisah
di Netzarim ini turut diabadikan dalam album Phoenix Bangkit karya M
Nasir.Lagu bertajuk Masirah ciptaan M Nasir dan lirik oleh S Amin Shahab
cuba berkongsi rasa penderitaan sebuah bangsa. Kebetulan semalam saya
menonton kembali VCD Konsert Phoenix Bangkit (sambil membaca buku SN A
Samad Said, Ilham di tepi Tasik).
Tersentuh jiwa. Sudah lupakah
dunia akan kisah berdarah ini. Berapa ramai lagi Ad Durrah yang akan
terkorban sebelum dunia berbuat sesuatu?
No comments:
Post a Comment