Monday 8 May 2017

JENIS LAPORAN AUDIT

JENIS LAPORAN AUDIT

Pendapat yang dilahirkan oleh juruaudit di dalam laporannya boleh dibahagikan kepada jenis-jenis seperti yang berikut:

(a) Pendapat tanpa syarat atau pendapat bersih.
(b) Laporan diubahsuai yang:
(i) Tidak memberi kesan terhadap pendapat juruaudit.
(ii) Memberi kesan terhadap pendapat juruaudit yang menghasilkan tiga jenis pendapat berikut:
• Pendapat bersyarat.
• Penafian pendapat.
• Pendapat bertentangan.



Laporan Audit Tanpa Sprat

Dalam laporan tanpa syarat atau juga dikenali sebagai laporan bersih, juruaudit tidak keberatan menyatakan pendapat tentang kesaksamaan penyata kewangan. Pendapat seperti ini bermakna syarikat yang diaudit itu telah menyediakan akaun mengikut keperluan undang-undang dan prinsip perakaunan yang diterima umum. Juruaudit mengeluarkan pendapat tanpa syarat apabila dia berpuas hati dengan semua aspek penyata kewangan yang matan bahawa:
(a) Maklumat kewangan disediakan dengan berasaskan prinsip perakaunan yang diterima dan prinsip itu digunakan secara tekal;
(b) Maklumat kewangan memenuhi kehendak undang-undang dan peraturan yang berkaitan;
(c) Persembahan maklumat kewangan secara keseluruhannya adalah selaras dengan pengetahuan juruaudit tentang perniagaan entiti; dan
(d) Pembentangan yang cukup untuk semua perkara matan bagi tujuan persembahan maklumat kewangan yang baik.

Sekiranya terdapat perubahan dalam prinsip perakaunan atau kaedah penggunaannya, perkara ini dijelaskan dalam laporan audit. Kesan daripada perubahan tersebut terhadap maklumat kewangan ditentukan dan dipersembahkan dalam penyata kewangan.

Laporan Audit Diubahsuai

Laporan audit yang diubahsuai boleh dikelompokkan kepada dua. Yang pertama, apabila terdapat suatu keadaan yang memerlukan tambahan maklumat pada laporan tersebut untuk dimaklumkan kepada pengguna penyata kewangan. Laporan audit diubahsuai ini berlaku dalam dua keadaan yang berbeza, iaitu:
(a) Keadaan yang tidak memberi kesan terhadap pendapatjuruaudit.
(b) Keadaan yang memberi kesan terhadap pendapatjuruaudit. Dalam keadaan ini pendapat audit boleh dibahagi kepada tiga jenis:
(i) Pendapat bersyarat;
(ii) Penafian pendapat; dan
(iii) Pendapat bertentangan.

Keadaan yang Tidak Memberi Kesan terhadap Laporan Juruaudit

Apabila timbul suatu keadaan yang boleh mempengaruhi penyata kewangan, keadaan tersebut perlu dititikberatkan dengan mengubahsuai laporan audit, iaitu menambah perenggan penekanan. Perenggan ini tidak mengubah pendapatjuruaudit, tetapi hanya mengubahsuai laporan sekiranya terdapat masalah usaha berterusan atau perkara lain yang melibatkan ketidakpastian yang signifikan yang dalam hal ini penyelesaiannya bergantung pada peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang atau mungkin menjejaskan penyata kewangan. Maklumat terperinci tentang perkara tersebut selalunya dinyatakan dalam nota kepada akaun.

Contoh: (Terjemahan Perenggan 33, ISA 700.)
"Tanpa membataskan pendapat kami, kami menarik perhatian kepada Nota X penyata kewangan. Syarikat ini ialah defendan dalam suatu dakwaan mahkamah atas tuduhan menceroboh hak paten dan tuntutan ganti rugi royalti dan ganti rugi punitif. Syarikat mengambil tindakan balas dan pembicaraan awal dan tindakan undang-undang terhadap kedua-dua dakwaan tersebut sedang berjalan. Keputusan akhir tentang perkara tersebut tidak dapat ditentukan buat masa ini dan tiada peruntukan dibuat dalam penyata kewangan untuk apa juga liabiliti yang mungkin timbul nanti".

Keadaan yang Memberi Kesan terhadap Laporan Juruaudit

Juruaudit boleh mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan pendapat tanpa syarat jika pada pertimbangannya ada keadaan tertentu yang memberi kesan yang matan terhadap penyata kewangan. Keadaan tersebut termasuk batasan pada skop kerja juruaudit dan tiada persetujuan antara juruaudit dangan pengurusan tentang dasar perakaunan yang digunakan, keadaan penggunaan dasar tersebut dan kecukupan pendedahan penyata kewangan.
Walaupun begitu, kesan daripada keadaan atau urus niaga yang mengakibatkan pendapat juruaudit yang dikeluarkan bukan merupakan pendapat tanpa syarat, adalah kurang penting untuk menjadikannya pendapat bertentangan ataupun pendapat penafian.
Keadaan-keadaan yang boleh membawa kepada laporan bersyarat:

Batasan Skop Kerja Juruaudit:
Batasan pada skop kerja audit boleh wujud dalam keadaan yang berikut:
(a) Batasan yang timbul disebabkan oleh ketidakpastian tentang pemilikan, kewujudan atau penilaian aset, liabiliti atau keadaan luar jangka. Apabila timbul ketidakpastian seperti itu, juruaudit tidak dapat menentukan perkara itu dengan pasti pada tarikh laporan juruaudit dibuat.
(b) Batasan yang timbul kerana juruaudit tidak berjaya memperoleh bukti ataupun tidak berpuas hati dengan bukti yang dihasilkan daripada tatacara gantian yang digunakan, walaupun pada hakikatnya bukti yang berkenaan memang wujud ataupun dijangka wujud.

Batasan di atas mungkin timbul apabila pelanggan mengenakan batasan terhadap skop kerja juruaudit. Umpamanya, pelanggan menghalang juruaudit daripada menjalankan suatu tatacara audit tertentu, walaupun juruaudit berpendapat bahawa tatacara itu adalah sangat penting dan perlu dilaksanakan untuk audit tersebut. Tanpa melaksanakan tatacara itu juruaudit tidak dapat memperoleh bukti untuk mencapai objektif audit yang berkenaan. Sekiranya sekatan yang dikenakan pada ikatjanji audit itu menjejaskan tugas juruaudit, juruaudit tidak sepatutnya menerima pelantikan tersebut.

Ada kalanya pula batasan skop timbul disebabkan oleh keadaan persekitaran. Umpamanya, pelanggan tidak menyimpan rekod perakaunan secukupnya. Ini bermakna juruaudit tidak dapat menjalankan kerja audit dengan berkesan. Juruaudit juga mungkin gagal melaksanakan tatacara yang dianggap penting sebab pelanggan enggan memberikan kerjasama membekalkan maklumat dan keterangan yang diperlukan. Sungguhpun keadaan seperti ini boleh melahirkan laporan bersyarat, juruaudit perlu cuba untuk menjalankan tatacara gantian yang munasabah untuk mendapatkan bukti audit yang cukup yang membolehkannya mengeluarkan pendapat tanpa syarat.

Sekiranya terdapat batasan seperti yang dibincangkan di atas, juruaudit harus mempertimbang kematanan kesan daripada batasan tersebut dan menentukan sama ada juruaudit perlu mengeluarkan laporan bersyarat atau tidak. Sekiranya batasan terhadap skop kerja audit itu menghalang juruaudit daripada mengeluarkan pendapat tanpa syarat, laporan juruaudit harus menyatakan batasan yang berkenaan. Cara susunan kata-kata untuk menyampaikan pendapat tersebut harus dapat menunjukkan bahawa pendapat itu adalah pendapat bersyarat yang tertakluk pada pelarasan yang mesti dikenakan terhadap penyata kewangan yang diaudit. Sekiranya batasan itu tidak ada, kemungkinannya pelarasan terhadap penyata kewangan itu dapat ditentukan dan dilakukan.

Dalam keadaan seperti itu, sekiranya kesan daripada batasan itu dijangkakan sangat penting, juruaudit boleh memilih untuk tidak mengeluarkan apa-apa pendapat audit terhadap penyata kewangan.

Hak juruaudit untuk memperoleh rekod perakaunan dan rekod-rekod lain syarikat yang sedang diaudit serta maklumat dan keterangan tentang syarikat tersebut disarankan dalam Seksyen 174, Subseksyen 4, Akta Syarikat, 1965.

Tiada Persetujuan antara Juruaudit dengan Pihak Pengurusan

Tiada persetujuan antara juruaudit dengan pihak pengurusan boleh timbul sekiranya berlaku perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak tentang sesuatu perkara tertentu. Dalam keadaan ini, juruaudit percaya bahawa penyata kewangan perlu diselaraskan atau dikemas kini supaya dapat memberikan gambaran yang benar dan saksama, manakala pihak penqarah dan pihak pengurusan pelanggan pula mempunyai pendapat sebaliknya.

Beberapa perkara yang boleh menyebabkan wujud percanggahan pendapat antara pihak pengurusan dengan juruaudit, iaitu:
(a) Kebolehterimaan prinsip perakaunan yang dipilih oleh pelanggan.
(b) Kesesuaian kaedah penggunaan prinsip perakaunan tersebut, yang merangkumi pembentangan maklumat yang cukup dalam penyata kewangan.
(c) Kepatuhan pada peraturan dan kehendak undang-undang yang berkaitan untuk pembentangan penyata kewangan. (Jadual 9, Akta Syarikat, 1965 memperincikan butiran yang memerlukan pembentangan yang berasingan daripada penyata kewangan).

Percanggahan pendapat sedemikian, jika matan, boleh menyebabkan juruaudit memberikan laporan bersyarat. Jika percanggahan tersebut sangat penting, juruaudit boleh mengeluarkan pendapat bertentangan. Dalam laporannya, juruaudit menggunakan susunan kata-kata yang dapat menjelaskan bentuk perbezaan pendapat itu, dan ukuran kesan perbezaan pendapat tersebut terhadap penyata kewangan.

Kegagalan Pihak Pelanggan Menyimpan Rekod Perakaunan dan Rekod serta Daftar yang Lain seperti yang Dikehendaki oleh Undang-undang

Tanggungjawab pengarah syarikat untuk menyimpan rekod bukan untuk memenuhi permintaan audit, tetapi merupakan tanggungjawab berkanun. Seksyen 167, Akta Syarikat, 1965 mengandungi peruntukan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pengarah syarikat. Sekiranya berlaku satu daripada tiga keadaan di atas, yang memberikan kesan yang matan terhadap maklumat kewangan, juruaudit boleh mengeluarkan laporan bersyarat. Jenis laporan bersyarat itu pula bergantung pada sifat keadaan tersebut serta pentingnya perkara tersebut pada gambaran yang diberi oleh penyata kewangan.

JENIS SYARAT PENDAPAT AUDIT

Jenis dan cara susun kata laporan juruaudit yang mengandungi syarat atau penekanan bergantung pada jenis keadaan yang dinyatakan pada pendapat juruaudit. Pada dasarnya terdapat empat jenis pendapat yang boleh dikeluarkan oleh juruaudit dalam laporannya hasil daripada kesan keadaan yang dibincangkan di atas, iaitu:

(a) Pendapat audit kesan batasan skop kerja juruaudit:
(i) Pendapat bersyarat.
(ii) Penafian pendapat.

(b) Pendapat audit kesan ketiadaan persetujuan antara juruaudit dengan pihak pengurusan:
(i) Pendapat bersyarat.
(ii) Pendapat bertentangan.

No comments:

Post a Comment