Monday 8 May 2017

PENDAPAT BERSYARAT

Pendapat Bersyarat

Pendapat bersyarat dikeluarkan apabila juruaudit membuat kesimpulan bahawa pendapat tanpa syarat tidak boleh digunakan. Hal ini timbul kerana wujudnya perbezaan pendapat antara juruaudit dengan pelanggan ataupun kerana terdapat batasan skop terhadap kerja audit tersebut. Walaupun begitu, kesan ketiadaan persetujuan dan batasan skop yang menjadi bahan kepada syarat pendapat itu tidak terlalu matan atau menyeluruh sehingga menahan juruaudit memberi pendapat tentang penyata kewangan secara keseluruhannya.
Dalam hal ini, juruaudit masih boleh memberikan pendapat bahawa penyata kewangan memberikan gambaran yang benar dan saksama tetapi pendapat yang diberi itu memberi pengecualian pada perkara tertentu dalam penyata kewangan tersebut. Pendapat yang dikeluarkan oleh juruaudit berbentuk "kecuali dengan" kesan perkara yang dikaitkan dengan syarat berkenaan.

Pendapat Bersyarat Kesan Ketiadaan Persetujuan antara Juruaudit dan Pengurusan
Pendapat bersyarat "kecuali dengan" dikeluarkan apabila berlaku percanggahan pendapat antara juruaudit dengan pihak pengurusan. Objektif pendapat bersyarat ini termasuk:
(a) Menyatakan bentuk dan kesan sesuatu perkara tertentu terhadap hasil prestasi pelanggan bagi suatu tempoh, terhadap aset dan liabiliti atau terhadap perkara-perkara yang berkaitan, yang dikecualikan oleh juruaudit daripada pendapatnya. Perkara yang tidak dipersetujui yang mempunyai kesan pada maklumat kewangan ini merupakan kejadian yang telah berlaku dan mempunyai kesan terpencil pada suatu butiran tertentu dalam penyata kewangan.
(b) Menyampaikan keengganan juruaudit memberikan pendapat tentang kecukupan pembentangan maklumat pada penyata kewangan.
(c) Menyampaikan bahawa "kecuali dengan" perkara yang menjadi sebab pertentangan pendapat, juruaudit tidak mempunyai perkara
lain yang tidak dipersetujui, sama ada tentang penyata kewangan atau keperluan berkanun.
Berikut merupakan contoh laporan audit yang mengandungi pendapat bersyarat "kecuali dengan" akibat ketiadaan persetujuan pendapat antara juruaudit dengan pihak pengurusan:

XYZ Bhd.
LAPORAN JURUAUDIT KEPADA AHLI-AHLI XYZ BHD.

Kami telah mengaudit akaun pada halaman 20 hingga 25 mengikut Panduan Pengauditan Antarabangsa, kecuali dengan perkara yang diterangkan dalam perenggan yang berikut:
Sebagaimana yang dibincangkan pada Nota 4, susut nilai tidak diperuntukkan dalam penyata kewangan, yang pada pendapat kami, amalan ini tidak mematuhi Piawaian MASB. Peruntukan susut nilai bagi tahun berakhir pada 31 Disember 19X0 sepatutnya berjumlah RM500 000 jika dikira berdasarkan kaedah garis lurus pada kadar 10 peratus untuk loji, 4 peratus untuk bangunan dan 20 peratus untuk kenderaan. Seterusnya nilai buku bersih aset tetap patut dikurangkan dengan susut nilai terkumpul berjumlah RM2 350 017, untung tahun semasa patut dikurangkan sebanyak RM500 000, dan pendapat tertahan pula dikurangkan sebanyak RM2 350 017.
Pada pendapat kami, kecuali dengan kesan daripada perkara yang disebut pada perenggan di atas, penyata kewangan memberikan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan XYZ Bhd. pada 31 Disember 19X1 dan hasil kendalian serta perubahan kedudukan kewangannya untuk tahun berakhir pada tarikh tersebut, selaras dengan keperluan Piawaian Perakaunan Antarabangsa dan mematuhi peruntukan Akta Syarikat, 1965.

BB & Co.
Nombor firma: CC 0071 Akauntan Awam Bertauliah S. Kunaran
Nombor kelulusan: (6:44) 2/2/4-66) Kuala Lumpur, Malaysia 10 Oktober 19X1

No comments:

Post a Comment