Monday 8 May 2017

PENAFIAN PENDAPAT

Penafian Pendapat

Juruaudit mempunyai tanggungjawab untuk memberikan pendapat audit. Walaupun ada kalanya juruaudit menghadapi batasan tertentu terhadap audit yang dijalankan, juruaudit perlu terlebih dahulu mencuba habis-habisan semua alternatif untuk memperoleh maklumat dan bukti yang diperlukan. Sekiranya juruaudit gagal mengatasi batasan itu, dan didapati yang kemungkinan kesan daripada batasan itu pada penyata kewangan secara keseluruhannya adalah sangat matan, juruaudit tidak perlu memberikan pendapatnya tentang penyata kewangan tersebut. Pendapat seperti ini dinamakan sebagai penafian pendapat.
Objektif penafian pendapat adalah untuk:
(a) Memberitahu bentuk, liputan dan kesan daripada batasan-batasan tertentu terhadap pemeriksaan audit yang disebabkan oleh faktor ketidakpastian.
(b) Menyatakan bahagian yang dianggap memberikan kesan menurut pendapat audit, terhadap penyata pendapatan bagi jangka masa yang berkenaan, atau aset dan liabiliti dalam kunci kira-kira pada tarikh itu, ataupun perkara-perkara lain dan;
(c) Menyatakan bahawa juruaudit tidak berupaya membentuk pendapat dalam suasana seperti itu.

Perkara yang menyebabkan juruaudit tidak berjaya melahirkan pendapat patut diterangkan dengan jelas. Oleh sebab kesan daripada perkara tersebut sangat penting, adalah tidak memadai jika juruaudit mengeluarkan pendapat bersyarat "kecuali dengan", walaupun faktor yang boleh membawa kepada pendapat jenis itu mempunyai bentuk yang sama, iaitu berkaitan dengan pertentangan pendapat.

Contoh penafian pendapat adalah seperti yang berikut:

XYZ Bhd.
LAPORAN JURUAUDIT KEPADAAHLI XYZ BHD.

Kami telah mengaudit akaun pada halaman 6 hingga 16 mengikut Panduan Pengauditan Antarabangsa.
Sebagaimana yang dinyatakan pada Nota 6, satu kebakaran yang berlaku di pusat komputer syarikat telah memusnahkan banyak rekod perakaunan.
Turut terlibat ialah penyata kewangan yang menyertakan butiran penting berdasarkan amaun anggaran. Dalam suasana seperti ini kami gagal untuk menjalankan semua tatacara audit, atau memperoleh maklumat dan penerangan yang kami fikirkan perlu.
Disebabkan pentingnya perkara-perkara yang disebutkan di atas, kami tidak dapat memberikan pendapat sama ada:
(a) Penyata kewangan memberikan suatu gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan syarikat pada 31 Disember 19X0 dan untung atau rugi serta sumber dan penggunaan dana untuk tahun berakhir pada tarikh tersebut;
(b) Rekod-rekod disimpan dengan baik; atau
(c) Penyata kewangan adalah mematuhi kehendak Akta Syarikat, 1965.

BB & Co.
Nombor Firma: CC 0071 S. Kunaran
Nombor Kelulusan: (6: 44) 212/4-66) Kuala Lumpur, Malaysia 10 Oktober 19X1

Penemuan Fakta Matan Selepas Penyata Kewangan Dikeluarkan

Penyata kewangan hanya dikeluarkan kepada pihak luar organisasi, setelah penyata tersebut diluluskan oleh pengurusan organisasi itu. Kelulusan tersebut diperoleh dalam bentuk resolusi pengarah, tandatangan pengarah pada penyata kewangan, atau pernyataan bertulis oleh pengarah. Oleh sebab tanggungjawab juruaudit adalah untuk membuat laporan pada penyata kewangan yang telah disediakan dan dipersembahkan oleh pihak pengurusan, juruaudit tidak boleh meletakkan tarikh laporan itu lebih awal dari tarikh kelulusan penyata kewangan tersebut.

Tarikh laporan audit merupakan suatu tarikh yang menunjukkan juruaudit telah menyiapkan kerja, termasuk pelaksanaan tatacara yang berkaitan dengan peristiwa yang berlaku selepas tarikh kunci kira-kira, dan tarikh selepas penyata kewangan diluluskan oleh lembaga pengarah.

Selepas laporan juruaudit ditandatangani dan diberikan tarikh, juruaudit tidak mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan tatacara seterusnya bagi mengenal pasti peristiwa yang berlaku selepas tarikh laporan juruaudit. Namun begitu, dalam tempoh mulai dari tarikh laporan audit sehingga tarikh penyata kewangan dikeluarkan, pihak pengurusan bertanggungjawab memberitahu juruaudit apa juga peristiwa yang mungkin mempengaruhi penyata kewangan.

Dua kemungkinan masa juruaudit menyedari tentang perkara matan yang mempunyai kesan pada penyata kewangan, iaitu sebelum penyata kewangan dikeluarkan, atau selepas penyata kewangan dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment